fb fb fb fb fb

Putra AFJ juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Datuk Hassan Sani 2023

Selaku juara, Putra AFJ berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, medal dan piala iringan

LABUAN, 13 November- Pasukan Putra AFJ dari Kota Belud Sabah muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Datuk Hassan Sani 2023 setelah mengalahkan pasukan Mixed Squad dari Brunei Darussalam dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan akhir yang diadakan di padang Dataran Labuan.
 
Pasukan Mixed Squad berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan awal minit kedua permainan oleh Hairol Azamain.
 
Namun, pada minit ke-15 pasukan Putra AFJ menyamai kedudukan menerusi jaringan oleh Fadli Juanas dan seterusnya pasukan itu menambah gol kedua dan ketiga pada minit ke-22 dan minit ke-45 menerusi jaringan Zuriandey Jumai dan Khairudin Mastikar.
 
Selaku juara, Putra AFJ berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, medal dan piala iringan, manakala naib juara membawa pulang hadiah RM10,000 serta hadiah iringan.
 
Sebanyak 36 pasukan menyertai kejohanan itu yang terdiri daripada pasukan tempatan Labuan, Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
 
Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Belia Labuan dan LDA Labuan Holdings Sdn Bhd.
 
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
 
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Presiden LAFA Sophian Said.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE