BARCELONA, 13 November -Barcelona bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 kepada Alaves pada Ahad sekali gus menyelamatkan maruah pasukan 'Catalan' itu daripada tewas.
Beraksi di laman sendiri, Barcelona dikejutkan dengan gol pembukaan oleh penyerang Alaves yang berusia 19 tahun, Samu Omorodion melalui serangan balas menarik ketika perlawanan belum pun memasuki seminit.
Gol berkenaan berpuna daripada kesilapan Ilkay Gundogan yang kehilangan bola di bahagian tengah dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Alaves bagi gol pertama pasukan berkenaan.
Pada perlawanan berkenaan, Barcelona dilihat bergelut dengan corak permainan mereka dan kerap kali kehilangan bola dan penguasaan.
Kesempatan itu diambil oleh Alaves dengan melancar serangan balas yang hampir menerjah gawang Barcelona.
Bagaimanapun, Alaves mensia-siakan beberapa peluang keemasan apabila Samu yang berjaya merampas bola daripada pertahanan Barcelona gagal merembat tepat bagi mengukuhkan kedudukan pada minit ke-30.
Bersambung babak kedua, Barcelona kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya pasukan tersebut berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52, hasil tandukan penyerang veteran, Robert Lewandoswki.
Barcelona kembali mendominasi permainan pada separuh masa kedua dan berhasil menjaringkan gol kemenangan hasil sepakan penalti Lewandowski pada minit ke-77 selepas pertahanan Alaves mengasari Rapinha di dalam kotak penalti.
Sementara itu, pengendali Barcelona, Xavi Hernandez menyifatkan pasukannya tidak bermain dengan baik dan perlu memperbaiki prestasi dan permainan pada perlawanan seterusnya.
"Kami perlu sentiasa sedar dan berwaspada dengan situasi. Akhir-akhir ini, kami tidak bermain dengan baik dan perlu melakukan sesuatu.
"Rehat antarabangsa telah tiba dan ia baik untuk kami. kami boleh memperbaiki kesilapan kami ketika tempoh ini (rehat antarabangsa). Saya optimis kami akan dapat kembali lebaih bagus dalam tempoh dua minggu ini", kata Xavi kepada Movistar Plus.
Kemenangan tersebut meletakkan Barcelona di tangga ketiga liga dengan 30 mata, dua mata di belakang Real Madrid yang berada di tangga kedua.-REUTERS