LIVERPOOL, 27 November – Episod suram Liverpool dalam kempen musim ini terus berlanjutan apabila dikejutkan PSV Eindhoven dengan kekalahan 4-1 pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi.
Kekalahan tersebut turut menamatkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah The Reds di laman sendiri dalam saingan peringkat kumpulan kejohanan elit Eropah itu.
Couhaib Driouech muncul wira PSV apabila meledak dua gol, disusuli jaringan Ivan Perisic menerusi sepakan penalti serta Guus Til untuk memastikan wakil Belanda itu pulang dengan tiga mata berharga dan melonjak ke tangga ke-14 kumpulan dengan lapan mata.
Foto REUTERS
Liverpool yang kini tewas sembilan daripada 12 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, jatuh ke tangga ke-12 setelah kekal dengan sembilan mata.
Bermula garang, PSV dihadiahkan sepakan penalti seawal minit keenam selepas Virgil van Dijk didakwa melakukan handball, sebelum Perisic menyempurnakan peluang tersebut dengan menewaskan Giorgi Mamardashvili.
Liverpool kembali menghidupkan harapan pada minit ke-16 apabila Dominik Szoboszlai mudah menolak masuk bola muntah hasil percubaan Cody Gakpo yang ditepis Matej Kovar.
Foto REUTERS
Namun, Til kembali meletakkan PSV di depan pada minit ke-56 selepas menyambar hantaran Mauro Junior, sebelum Driouech menambah derita tuan rumah pada minit ke-73 dengan menyudahkan bola lantun hasil percubaan Ricardo Pepi yang terkena tiang.
Driouech menutup malam gemilang PSV dengan jaringan keduanya pada masa kecederaan selepas menerima hantaran lintang Sergino Dest yang gagal dipintas pertahanan Liverpool.
Kekalahan tersebut sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai prestasi Liverpool yang terus merudum musim ini di bawah bimbingan jurulatih Arne Slot. -REUTERS