fb fb fb fb fb

PSM usaha dapatkan khidmat Hafizul, Zuleffendi sertai Sukan SEA 2025

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan bercakap pada pemberita selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA Thailand 2025 di Wisma MOM hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedang berusaha membawa masuk semula dua pemain senior, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari, ke dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA di Thailand pada Disember nanti.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata perbincangan telah diadakan bersama jurulatih bagi membawa mereka menggalas cabaran di temasya dwitahunan itu.

"Saya sedang berusaha untuk membawa semula dua pemain ini John (Hafizul) dan Pak Long (Zuleffendi) ke dalam skuad. Saya tahu, dan saya juga mengikuti setiap perlawanan STL, sama ada di televisyen atau melalui telefon. Saya telah berbincang dengan jurulatih, Ahmad Jais, mengenai usaha untuk menyenaraikan semula Pak Long dan John ke dalam skuad kebangsaan.

"Kami memang memerlukan khidmat dua pemain ini. Sebenarnya, mereka pernah bersama skuad sebelum ini, tetapi semua pihak sedia maklum tentang beberapa isu yang timbul. John menghadapi kekangan daripada pihak majikannya, dan begitu juga dengan Pak Long. Saya sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan majikan masing-masing dalam masa terdekat bagi merayu agar mereka diberikan pelepasan," katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan SEA 2025 di sini, hari ini.

Mohd Sumali turut menetapkan sasaran untuk meraih pingat emas dalam acara regu lelaki dan kuadran lelaki, selain dua pingat perak menerusi acara kuadran campuran dan regu berpasukan lelaki.

Sebagai persediaan, skuad negara dijangka akan mengadakan perlawanan ujian menentang pasukan dari luar negara kira-kira sebulan sebelum Sukan SEA bermula, bagi memberi pendedahan dan tekanan kompetitif kepada para pemain.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN