CHENGDU,12 Ogos – Atlet orienteering Itali, Mattia Debertolis meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika beraksi pada acara Sukan Dunia di Chengdu, pada Selasa.
Menurut kenyataan bersama penganjur Sukan Dunia dan Persekutuan Orienteering Antarabangsa (IOF), Debertolis, 29, rebah ketika menyertai acara menengah lelaki pada 8 Ogos, iaitu acara pertama yang menawarkan pingat pada temasya itu sebelum disahkan meninggal dunia empat hari kemudian.
Pihak penganjur memaklumkan beliau menerima rawatan perubatan segera di salah sebuah institusi perubatan terkemuka di China, namun gagal diselamatkan dan punca kematian tidak didedahkan.
Acara tersebut berlangsung dalam keadaan cuaca panas dan lembap dengan suhu melebihi 30 darjah Celsius. Laluan sejauh enam kilometer itu melibatkan pendakian setinggi 180 meter serta 20 titik kawalan yang perlu dilalui peserta menggunakan peta dan kompas.
Debertolis berasal dari Primiero, timur Itali dan disenaraikan sebagai "Tidak Menamatkan Perlumbaan" bersama 11 peserta lain dalam keputusan rasmi.
Acara tersebut dimenangi atlet Switzerland, Riccardo Rancan, dengan catatan masa 45 minit 22 saat.
Sukan Dunia merupakan temasya sukan pelbagai acara yang diadakan setiap empat tahun bagi sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik. -AFP