KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, perlu mempamerkan ketahanan mental yang lebih kuat sekiranya mahu muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui bahawa prestasi pasangan itu pada tahun ini menunjukkan sedikit kemerosotan berbanding musim lalu, memandangkan mereka masih belum meraih sebarang gelaran juara walaupun peluang terbuka luas.
Tambah beliau, isu teknikal bukanlah faktor utama yang menghalang prestasi mereka, sebaliknya kedua-dua pemain dilihat gagal mengawal tekanan semasa permainan.
"Tahun ini mereka masih belum berjaya meraih sebarang kejuaraan, dan prestasi dilihat menurun berbanding tahun lalu. Peluang sebenarnya lebih terbuka sekarang, tetapi untuk menjadi juara, mereka perlu tampil lebih mantap dan lebih kuat dari segi mental di dalam gelanggang.
"Beberapa kali prestasi terganggu disebabkan hal ini. Semua lawan yang dihadapi kini semakin kuat, jadi mereka perlu bijak menyesuaikan diri dan mencari jalan untuk menang.
"Namun begitu, saya masih percaya mereka boleh atasi perkara ini. Bagi saya, tiada masalah besar cuma dari segi ketahanan mental yang perlu diperbaiki," katanya selepas latihan badminton di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Kejohanan Dunia di Paris nanti, beliau menyasarkan agar pasangan itu sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir, memandangkan mereka mendapat laluan lebih baik berikutan status sebagai pilihan keempat.