KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi disenaraikan dalam kontinjen olahraga ke Sukan SEA di Thailand bagi acara 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter.
Namun jelas ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil, penyertaan Azeem dalam temasya berkenaan akan ditentukan selepas perbincangan bersama jurulatihnya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS).
"Sebenarnya, sebelum Azeem pergi ke Odisha tempoh hari di India, saya telah berbincang secara peribadi dengan MSN (Majlis Sukan Negara). Azeem memaklumkan beliau akan pulang ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat untuk berbincang dengan jurulatihnya.
"Selepas itu, kami akan menghubungi semula bagi menentukan kaedah dan proses terbaik untuk membolehkan Azeem kembali ke Malaysia bagi menyertai Sukan SEA. Perbincangan ini masih dalam proses dan memerlukan kata sepakat antara jurulatih dan atlet," katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan SEA 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menaruh harapan tinggi agar aset terbaik negara itu dapat beraksi namun pada masa sama perlu akur dengan sebarang keputusan yang dicapai kelak.
Sementara itu, Manshahar berkata sekiranya Azeem tidak dapat menyertai Sukan SEA, tempat tersebut masih terbuka untuk direbut oleh pelari negara, Danish Iftikhar yang dilihat sebagai calon utama.
Namun, keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan prestasi pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa Azeem tidak akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.