KUALA LUMPUR, 17 Ogos-Perancangan untuk sukan sepak takraw mempunyai 'rumah sendiri' sudah dibincangkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum memutuskan sama ada mahu membina stadium baharu atau menaik taraf stadium sedia ada.
"Kita perlu lihat dua perkara sama ada memang nak guna untuk perlawanan atau stadium untuk kegunaan akademi atau latihan. Tapi kita mesti nak Stadium Sepak Takraw Malaysia, kapasiti 2,000 hingga 5,000, namun masih dalam proses perbincangan. Tiada garis masa dapatkan stadium itu.
"Biarlah nama itu menjadi stadium sepaktakraw kerana setidak-tidaknya Malaysia membawa imej sukan tradisi kita. Itu perbincangan bersama dengan Menteri Belia dan Sukan,Hannah Yeoh dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim",katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Liga Sepak Takraw 2024 di sini semalam (Jumaat).
Dalam pada itu,PSM sedang mempertimbangkan pemilihan stadium sebagai lokasi penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.
Mohd Sumali berkata, Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil dan Stadium Titiwangsa antara lokasi yang menjadi tumpuan.
"Memang menjadi kehendak ramai untuk dibuat di Axiata kerana besar, tetapi adakah sesuai? Untuk dalam keadaan sekarang, mungkin final, separuh akhir, kita boleh penuhkan tapi di peringkat awal nanti nampak kosong sangat.
"Tapi saya belum tengok secara lebih terperinci. Kalau Titiwangsa, memang kita sudah biasa, sepak takraw ini sudah banyak kali diadakan di Titiwangsa. Dengan kapasiti penonton 2,000 memang sesuai untuk masa ini," katanya.