fb fb fb fb fb

PSG mara ke pusingan kalah mati

Pemain PSG, Achraf Hakimi (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol - Foto AFP

SEATTLE, 24 Jun - Pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Paris Saint-Germain (PSG), mara ke pusingan kalah mati dalam saingan Piala Dunia Kelab selepas menang 2-0 ke atas pasukan tuan rumah, Seattle Sounders dalam perlawanan Kumpulan B awal pagi tadi.

Gol-gol PSG hadir menerusi jaringan Khvicha Kvaratskhelia dan Achraf Hakimi.

Kemenangan itu menyaksikan PSG menamatkan saingan Kumpulan B di tempat pertama dengan enam mata daripada tiga perlawanan.

2406 SKN PSG MARA CLUB WORLD CUP 2Pemain-pemain PSG meraikan jaringan yang dilakukan Achraf Hakimi - Foto AFP

Tempat kedua dan ketiga juga mengumpul enam mata, namun perbezaan jaringan menyaksikan Atletico Madrid tersingkir selepas menduduki tangga ketiga, manakala Botafogo ditempat kedua, sekali gus mengiringi PSG ke pusingan 16 terbaik.

PSG akan menentang naib juara Kumpulan A pada pusingan seterusnya, manakala Botafogo akan berdepan juara Kumpulan A.

Dalam pada itu, Seattle pula, yang perlu menang dengan kelebihan sekurang-kurangnya tiga gol untuk layak, tersingkir tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan yang berlangsung di gelanggang sendiri.

PSG memecah kebuntuan pada minit ke-35 selepas sepakan sudut yang dibersihkan jatuh ke kaki Vitinha di luar kotak penalti.

Rembatan Vitinha tersasar, namun bola terkena belakang Kvaratskhelia dan melantun masuk ke gawang Seattle.

Gol kedua PSG hadir pada minit ke-66 hasil gerakan pemain gantian, Bradley Barcola, yang membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola kepada Hakimi yang tidak dikawal dan tenang menyempurnakan jaringan. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK