fb fb fb fb fb

PSG belasah Inter Miami 4-0

Lionel Messi (Inter Miami) diasak oleh Nuno Mendes (Paris Saint-Germain) dalam aksi Piala Dunia Kelab di Atlanta / REUTERS

ATLANTA, 30 Jun- Dua jaringan Joao Neves membantu Paris Saint-Germain (PSG) membelasah Inter Miami 4-0 dalam aksi Piala Dunia Kelab di Stadium Mercedes-Benz, sekali gus memastikan tempat mereka ke suku akhir dengan gaya penuh dominasi.

Kelab gergasi Perancis itu tidak membuang masa apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam, menyaksikan Neves yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang disempurnakan tepat ke arah tiang jauh.

Neves kemudian menggandakan kelebihan PSG pada minit ke-39 selepas satu gerakan menarik melibatkan Bradley Barcola dan Fabian Ruiz.

Segala harapan kebangkitan buat skuad Lionel Messi berkubur seawal separuh masa pertama apabila mereka sukar menembusi pertahanan PSG. Malah, nasib malang terus menyelubungi pasukan Major League Soccer itu apabila Tomas Aviles menjaringkan gol sendiri, sebelum Achraf Hakimi menambah gol keempat PSG sejurus sebelum rehat.

Menerusi kemenangan itu, PSG yang juga juara Liga Juara-Juara mara ke pusingan suku akhir dan bakal berdepan Bayern Munich.

Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique menyifatkan musim ini sebagai salah satu yang paling bersejarah buat kelab tersebut.

“Saya rasa jelas bahawa kami sedang melalui musim yang bersejarah buat kelab ini dan kami berniat untuk terus menambah pencapaian dalam kejohanan ini. Kami kini di suku akhir, hanya tinggal lapan pasukan dan matlamat kami adalah mara sejauh mungkin dan berada dalam posisi untuk merebut kejuaraan.

"Tapi untuk capai itu, kami perlu melepasi dua pusingan lagi. Memang musim ini terasa sangat panjang, bukan hanya untuk kami, tapi untuk semua pasukan, namun motivasi untuk kejohanan ini sangat tinggi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano, mengakui pasukannya telah mencapai apa yang mereka sasarkan, walaupun tersingkir.

“Kalau kita lihat secara keseluruhan, saya rasa kami capai matlamat yang kami tetapkan sejak awal. Kami tahu tahap persaingan kami dan realitinya lambat laun akan muncul.

"Tapi saya sangat bangga dengan pemain-pemain saya, dengan cara mereka bermain dalam kejohanan ini. Saya rasa kami memberikan aksi yang setimpal dengan jangkaan yang diletakkan ke atas kami,” ujarnya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE