fb fb fb fb fb

LeBron sah teruskan aksi musim ke-23, ukir rekod baharu dalam sejarah NBA

Pemain LA Lakers, LeBron James / REUTERS

LOS ANGELES, 30 Jun- LeBron James bakal melakar pencapaian baharu dalam kariernya apabila menjadi pemain pertama dalam sejarah NBA yang beraksi sehingga musim ke-23, selepas disahkan akan kembali menyarung jersi Los Angeles Lakers bagi musim 2025-2026.

Pemain yang memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman NBA itu mengambil keputusan untuk mengaktifkan klausa pemain bernilai AS$52.6 juta bagi musim akan datang, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Klutch Sports, Rich Paul kepada ESPN pada Ahad.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada James, yang kini berusia 40 tahun, akan meneruskan kariernya selepas musim ini.

Sepanjang kariernya, LeBron telah membuat sebanyak 1,562 penampilan musim biasa, hanya 50 perlawanan lagi untuk memintas rekod milik legenda Boston Celtics, Robert Parish sebagai pemain paling banyak beraksi dalam sejarah NBA.

Pada musim 2024-2025, LeBron terus menunjukkan konsistensi apabila mencatat purata 24.4 mata, 7.8 rebound dan 8.2 umpanan dalam 70 perlawanan, menempatkan dirinya dalam kelompok 22 terbaik bagi setiap kategori tersebut.

Dia telah dipilih sebanyak 21 kali ke perlawanan All-Star, memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) liga sebanyak empat kali dan menjuarai kejohanan NBA sebanyak empat kali.

LeBron mula mencuri tumpuan sejak usia 18 tahun apabila dipilih sebagai pilihan pertama dalam Draf NBA 2003 oleh Cleveland Cavaliers, sekali gus memulakan era baharu dalam landskap sukan bola keranjang dunia.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE