MIAMI, 30 Jun- Harry Kane meledak dua gol ketika Bayern Munich menundukkan Flamengo 4-2 dalam aksi tegang di Stadium Hard Rock, sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab bertemu Paris Saint-Germain (PSG).
Gol sendiri Erick Pulgar membuka tirai jaringan buat Bayern sebelum Leon Goretzka menambah gol kedua untuk kelab gergasi Jerman itu. Flamengo yang tampak longgar di benteng pertahanan, berjaya merapatkan jurang dua kali menerusi jaringan Gerson dan Jorginho.
Flamengo tampil agresif ditambah sokongan padu penyokong yang memenuhi stadium, namun Bayern memanfaatkan setiap peluang dengan ketepatan klinikal apabila kesemua percubaan tepat mereka menghasilkan gol, dua daripadanya dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan.
Terdahulu, PSG memberi amaran awal kepada pencabar lain apabila membelasah Inter Miami 4-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Juara Liga Juara-Juara itu menunjukkan keampuhan jentera serangan sebelum memperlahankan tempo permainan pada babak kedua, menyelamatkan pasukan Lionel Messi daripada kekalahan lebih memalukan.-REUTERS