fb fb fb fb fb

Proton Games 2025 himpun pengedar, vendor & agensi kerajaan

Amran Mohd Tomin

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Proton Games 2025 merupakan wadah untuk menghargai sokongan padu rakan niaga dan agensi kerajaan terhadap pembangunan syarikat automotif nasional.

Menurut Chef de Mission Proton Games, Amran Mohd Tomin yang juga Naib Presiden Sumber Manusia dan Pentadbiran PROTON, program hari ini dimulakan pertandingan boling antara pasukan PROTON dan jemputan daripada pelbagai agensi.

"Matlamat utama adalah untuk kita memantapkan lagi hubungan erat rakan-rakan kita, rakan perniagaan serta rakan agensi kerajaan yang telah membantu.

"Ia juga bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada mereka, walaupun kita bersukan kita dapat kenal mengenali dengan lebih erat lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Amran turut memaklumkan bahawa sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila jumlah penyertaan daripada vendor dan pengedar terus meningkat berbanding sasaran awal.

Program hari ini menghimpunkan lebih 20 pasukan termasuk wakil dari vendor, pengedar PROTON dan agensi kerajaan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, yang turut bersama memeriahkan acara.

Proton Games 2025 akan berlangsung pada 26 Julai depan di Stadium PROTON, Tanjung Malim, melibatkan lebih 5,000 peserta termasuk warga PROTON, vendor dan pengedar.

Acara itu mengetengahkan 17 jenis sukan merangkumi bola sepak, futsal, boling, badminton, e-sukan, karom, dart (baling damak) dan sebagainya.

Ia turut merangkumi sukan rakyat serta Hari Keluarga, menjadikannya antara acara paling dinantikan setiap tahun.

Bagi memastikan kelancaran temasya, beberapa acara liga seperti bola sepak dan badminton telah dimulakan lebih awal di lokasi berasingan, manakala aksi akhir akan diadakan di Tanjung Malim sempena kemuncak Proton Games 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI