SEPANYOL, 22 Jun- Pelumba remaja sensasi negara, Qabil Irfan Azlan terus mencipta sejarah di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan dramatik dalam Perlumbaan 2, Pusingan Kedua Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Catalunya, Barcelona, hari ini.
Lebih manis, lagu Negaraku kembali bergema di bumi Sepanyol selepas pelumba berusia 13 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan hanya 0.01 saat di hadapan pelumba Bulgaria, Nicola Miroslavov.
Aksi sengit menyaksikan kedudukan pelumba utama saling bertukar sejak awal, namun strategi kemas Qabil di selekoh terakhir berjaya memastikan tempat teratas miliknya hingga ke garisan penamat.
Sementara itu pelumba Switzerland, Alessio Arnold melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Kemenangan tersebut menjadi penebus kekecewaan Qabil yang sekadar meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 1 semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan kategori ESBK Talent dengan tiga kemenangan dan satu tempat kedua setakat ini.