KUALA LUMPUR, 30 November – Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) terus memperkukuh hala tuju pembangunan sukan berkenaan dengan melancarkan projek pembangunan MABA Suitez yang bernilai RM800 juta.
Projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada kestabilan kewangan persatuan dan menyumbang kepada pembinaan pasukan bola keranjang negara yang lebih kompetitif pada masa hadapan.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata projek kerjasama bersama pemaju EXSIM itu dijangka memberikan pulangan sekurang-kurangnya RM170 juta kepada MABA.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock/RTM
“Daripada RM170 juta ini, kita akan melaburkan RM120 juta dalam unit-unit yang akan dibina di sini. Dengan pelaburan RM120 juta tersebut dan anggaran pulangan sekitar empat peratus, kita sekurang-kurangnya akan memperoleh RM4.8 juta.
“Namun, kami yakin pulangan mampu mencecah sekurang-kurangnya lima peratus, iaitu kira-kira RM6 juta untuk bajet tahunan. Dengan adanya RM6 juta setahun, MABA pada masa hadapan akan mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah MABA Suitez @ KL City Centre di sini.
Projek pembinaan dua menara berkembar setinggi 60 tingkat berhampiran Menara Merdeka 118 itu bakal menempatkan ibu pejabat baharu MABA seluas 3,000 kaki persegi serta dilengkapi gelanggang khas bagi acara 3x3.