fb fb fb fb fb

Program Penggalakan Sukan Untuk Semua di Labuan dapat sambutan hangat

FOTO RTM

LABUAN, 29 Disember- Program Penggalakan Sukan yang diadakan di Labuan bermatlamat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, seterusnya menyokong ke arah negara bersukan.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Mahanum Fauzi berkata, pelbagai pengisian aktiviti diadakan bersempena penganjuran program berkenaan.
 
Antaranya, kejohanan hoki 3 On 3 kategori kanak-kanak, Fun Walk 10 kilometer, bola sepak sembilan sebelah dan futsal.
 
"Sasaran kita sebenarnya adalah seluruh masyarakat segenap lapisan masyarakat di Labuan daripada yang tua daripada kanak-kanak, contohnya macam bola sepak 9 sebelah kita buat kategori terbuka, hoki khas untuk kanak-kanak dan untuk fun walk kita lebih kepada terbuka dari umur kanak-kanak sehinggalah warga emas,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika kejohanan hoki 3 On 3 sempena Program Penggalakan Sukan Untuk Semua di Kompleks Belia dan Sukan Labuan.
 
Tambah beliau, pihaknya juga berperanan memupuk masyarakat khususnya golongan belia untuk bergiat aktif dalam sukan, di samping merangka pembangunan belia dan sukan di wilayah tersebut.

Sementara itu, kejohanan hoki 3 on 3 yang dianjurkan JBS Labuan dengan kerjasama Akademi Hoki Labuan melibatkan empat kategori pertandingan iaitu bawah 12 tahun dan bawah 17 tahun lelaki dan perempuan.
 
Pengerusi Akademi Hoki Labuan, Rizuan Nizam Nawawi berkata, penganjuran kejohanan itu merupakan langkah usaha mencari bakat di peringkat kanak-kanak yang bakal menjadi pelapis pemain negeri dan juga kebangsaan.
 
Katanya, kejohanan berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan kelab sukan sekolah rendah.
 
"Akademi Hoki Labuan ini telah diwujudkan bermula awal tahun ini, bertujuan untuk menjalankan program-program pembangunan akar umbi yang kita sasarkan pengisiannya diambil daripada kanak-kanak sekolahlah yang berumur daripada 8 tahun sehingga 12 tahun.

"Namun akademi ini juga berfungsi sebagai satu platform yang boleh kita membawa warga Labuan ataupun pemain-pemain hoki Labuan untuk diketengahkan keluar daripada Labuan," kata Rizuan.
 
Beliau turut berharap agar pihak yang berkaitan memberikan perhatian untuk mendapatkan kemudahan fasiliti sukan hoki di pulau tersebut.
 
Ini kerana sukan berkenaan mendapat sokongan dan mampu berkembang dalam melahirkan atlet yang berkualiti.
 
 
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE