PETALING JAYA 28 Mei- Kursus Kejurulatihan Profesional Diploma AFC/FAM Modul I dan II yang disertai barisan jurulatih mendapat perhatian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Beliau hadir memberikan suntikan semangat kepada mereka yang mengikuti kursus berkenaan di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Kursus Kejurulatihan Profesional Diploma AFC/FAM itu telah bermula sejak 5 Mei lalu dan akan berakhir pada 3 Jun depan.
Ia disertai seramai 16 orang jurulatih termasuk empat jurulatih, masing-masing dari Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Kemboja.
Selain teori, kursus terbabit turut melibatkan sesi praktikal yang diadakan di padang Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Kursus Kejurulatihan Profesional Diploma AFC/FAM Modul I dan II kali ini dikendalikan oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell selaku Pendidik Jurulatih AFC dan FIFA.
Ia turut dikendalikan Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihan FAM, Lim Kim Chon dan Ketua Unit Belia FAM, Razip Ismail.