fb fb fb fb fb

PREPMA kenal pasti pelapis Jamery Siga

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 14 Januari- Persatuan Para Renang Malaysia (PREPMA) telah mengenal pasti beberapa atlet renang para muda, sebagai pelapis kepada Jamery Siga.

Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata ini berdasarkan persembahan atlet muda yang beraksi pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo tahun lepas.

“Kita ada atlet pelapis, sebab atlet renang para muda negara dah tunjukkan prestasi mereka tahun lepas ...saya pasti pengganti Jamery Siga ada.

“Saya percaya prestasi yang mereka tunjuk dari tahun lepas sehingga tahun ini, mereka mampu memberi cabaran baik untuk lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertama PREPMA di sini hari ini.


(Presiden PREPMA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin/BERNAMA)

Megat D Shahriman yang juga merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada masa sama mahu atlet para renang negara supaya menanam sifat berdaya saing bagi merebut tempat beraksi di APG Kemboja Jun ini.

Sementara itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan PREPMA berkenaan, Alwiyah Talib dilantik sebagai Naib Presiden manakala Nur Jamilah Yong Chia Chia sebagai Setiausaha Agung PREPMA.

PREPMA telah diluluskan pendaftarannya oleh Pesuruhanjaya Sukan (PJS) pada 3 Nov tahun lepas dengan mempunyai tujuh ahli gabungan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.

Megat D Shahriman berkata penubuhan persatuan itu sejajar dengan arahan International Paralympic Committee (IPC) dengan setiap negara harus menubuhkan persatuan para kebangsaan sendiri.- BERNAMA

Media Baharu