fb fb fb fb fb

Piala Dunia Hoki: Malaysia tumpas 0-4 kepada Belanda pada aksi pertama

(Malaysia tumpas 0-4 kepada Belanda dalam aksi pertama kumpulan C Piala Dunia Hoki
2023/ FIH/World Sports Pic)

ROURKELA, 14 Januari - Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, Belanda selepas tumpas 0-4 dalam aksi pertama kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023.

Pertembungan berlangsung di Rourkela, India menyaksikan peluang terbaik skuad negara hanya hadir menerusi dua pukulan sudut penalti.

Turun dengan jersi serba putih, gawang Malaysia yang diasak hebat banyak diselamatkan aksi cemerlang penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman pada suku pertama.

Gawang Malaysia akhirnya bolos pada suku kedua, selepas Thijs Van Dam memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan negara untuk gol pertama Belanda pada minit ke-19.

Gawang Malaysia sekali lagi bocor empat minit kemudian hasil jaringan penalti stroke pertahanan Belanda, Jip Janssen.

Peluang terbaik negara hadir menerusi pukulan sudut penalti beberapa minit kemudian, namun ketangkasan penjaga gol Belanda, Pirmin Blaak berjaya menepis percubaan dilakukan penyerang sensasi negara, Faizal Saari.

Malaysia sekali lagi memperoleh pukulan sudut penalti pada suku ketiga, namun kali ini digagalkan dengan perancangan 'set piece' yang lemah.


(Malaysia tumpas 0-4 kepada Belanda dalam aksi pertama kumpulan C Piala Dunia Hoki
2023/ FIH/World Sports Pic)

Belanda menambah dua lagi jaringan pada suku terakhir perlawanan menerusi jaringan Teun Beins dan Jorrit Croon dan menutup perlawanan dengan kemenangan 4-0.

Malaysia berdepan misi wajib menang dalam aksi kedua kumpulan berdepan Chile pada 16 Januari untuk terus menghidupkan peluang melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.

Sementara itu, New Zealand turut melakar kemenangan menewaskan Chile, 3-1 dalam satu lagi aksi kumpulan C.

Pasukan menghuni ranking ke-9 dunia itu tidak perlu menunggu lama memperoleh gol pertama menerusi jaringan padang Sam Lane pada minit ke-9.

New Zealand semakin selesa pada suku kedua, selepas penyerang, Sam Hiha meledak dua gol padang untuk meletak pasukan mendahului 3-0.

Chile yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan kali ini tidak pulang hampa, memperoleh gol saguhati hasil jaringan Ignacio Contardo pada suku terakhir perlawanan.

Media Baharu