fb fb fb fb fb

Premier cabar Sarawak jadi juara SUKMA 2024, pemenang pingat emas dijanjikan insentif istimewa

Tan Sri Abang Johari pada majlis detik 100 hari menjelang SUKMA XXI, di Kuching

KUCHING, 10 Mei- Kontinjen Sarawak dicabar untuk mencapai prestasi cemerlang sekali gus muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia ke-21 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Cabaran berkenaan dilontarkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dengan menaruh harapan tinggi kepada atlet Sarawak.

Beliau berkata seramai 9,927 atlet yang terpilih membawa cabaran Sarawak pada temasya dwitahunan itu harus menetapkan matlamat untuk mencapai kejayaan supaya bendera Íbu Pertiwi’ megah berkibar tinggi seperti tiang bendera di Dataran Ibu Pertiwi.

Bukan hanya tertumpu kepada atlet, pesanan sama turut ditujukan kepada kesemua pegawai terlibat dalam penyediaan dan pengurusan pasukan.

“Kalau Sarawak sudah menjadi ekonomi yang kedepan dalam ekonomi hijau, pastikan juga sukan kita ke depan. Buat persediaan sebaiknya beri fokus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis detik 100 hari menjelang SUKMA XXI, semalam.

Hadir sama, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Chef de Mission Sarawak pada SUKMA XXI, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Tan Sri Abang Johari turut memaklumkan atlet Sarawak yang memenangi pingat emas pada temasya tersebut dijanjikan insentif dan perincian insentif akan diumumkan kemudian.

Sarawak menetapkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada edisi kali ini selepas kali terakhir mengecapinya pada tahun 1994.

SUKMA XXI bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara, dengan menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan Brunei Darussalam.

Temasya edisi kali ini akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak.

SUKMA ke-21 merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas tahu 1990 dan 2016.

Pada temasya kali ini, Chef de Mission kontinjen Sarawak ialah Datuk Geral Rentap Jabu yang juga Timbalan Menteri MYSED.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE