MELAKA, 10 Mei - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menambah baik pelaksanaan Kod Sukan Selamat dari semasa ke semasa.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet serta penggiat sukan tanah air dapat dilindungi secara menyeluruh.
"Kod Sukan Selamat sentiasa dipertingkatkan bukan sebagai reaksi atau respon hanya disebabkan insiden keganasan yang menimpa tiga pemain bola sepak kebangsaan bulan ini, tetapi ada kerjasama yang baik dengan badan-badan yang terlibat dengan sukan, maksudnya belajar dari masa ke masa untuk penambahbaikan dalam sukan selamat itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara 2024 (HBN2024), di sini pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan tiga kejadian serangan membabitkan pemain bola sepak iaitu Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.
Akhyar Rashid cedera ketika disamun dalam satu kejadian di Terengganu pada 2 Mei lepas manakala pemain Selangor Faisal Halim melecur tahap empat selepas disimbah asid di Kota Damansara pada 5 Mei.
Manakala kereta bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim telah dipecahkan oleh individu tidak dikenali di Sri Gelam, Johor Bahru pada 7 Mei.