KUALA LUMPUR, 22 Julai - Jualan tiket perlumbaan motosikal lasak terkemuka, Kejohanan Dunia Supercross FIM (WSX) bermula esok.
Peminat sukan lasak tersebut berpeluang merebut tiket kejohanan dalam jualan awal eksklusif selama dua hari, esok dan lusa sebelum jualan umum pada 25 Julai.
Penampilan sulung WSX di Stadium Merdeka, 18 Oktober ini menjanjikan malam penuh aksi kepada peminatnya.
Dikenali di seluruh dunia kerana perlumbaan yang intensif, trek yang mencabar dan pelumba bertaraf dunia, WSX membawa dimensi baru kepada penggemar sukan permotoran lasak di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd, Shamil Yusof berkata, selain persaingan sengit di trek, program turut menampilkan persembahan artis tempatan dan antarabangsa pada majlis pembukaan rasmi.
Jelas beliau, penganjuran kejohanan supercross itu juga bagi menginspirasikan generasi baru peminat sukan permotoran dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Fokus utama juga diberikan kepada pembangunan bakat serantau dengan peruntukan slot khas untuk pelumba ASEAN dan peluang 'wildcard'.
“Matlamat kami adalah untuk mendapatkan dua penunggang dari Malaysia bagi kategori wildcard 250cc dalam beberapa bulan akan datang dan menyediakan mereka untuk bersaing dalam Kejuaraan Dunia Supercross FIM 2025.'' katanya.
Peminat boleh mendapatkan tiket semasa jualan awal di www.wsxmalaysiagp.com.##