SHAH ALAM, 22 Julai - Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala temasya Para SUKMA Selangor pula dijadualkan dari 5 hingga 14 September 2026.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola SUKMA ke-2 Tahun 2025 di Shah Alam, hari ini.
Selaras dengan pengumuman tersebut, satu majlis pelancaran logo, maskot dan tema rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 akan diadakan pada 15 Ogos 2025, sempena detik setahun menjelang penganjuran temasya dwitahunan tersebut.
"Kita juga telah menetapkan dua lokasi utama bagi temasya ini, iaitu upacara pembukaan yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada tarikh yang telah ditetapkan, manakala Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dipilih sebagai venue rasmi bagi majlis penutupan SUKMA ke-22 atau SUKMA Selangor 2026."
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola SUKMA ke-2 Tahun 2025 di Shah Alam.
Bagi temasya Para SUKMA 2026, venue rasmi pembukaan dan penutup akan diumumkan oleh jawatankuasa penganjur menjelang September ini.
SUKMA XXII Selangor akan mempertandingkan 28 jenis sukan wajib dan lima sukan tambahan yang bakal dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi SUKMA awal Ogos ini.
Sementara itu, 10 sukan teras akan dipertandingkan dalam edisi Para SUKMA.
Penganjuran temasya kali ini akan melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan seluruh Selangor, termasuk Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.
Kira-kira 10,000 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen, termasuk pasukan jemputan Brunei Darussalam dijangka menyertai temasya yang kembali ke Selangor selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 1998.