SHAH ALAM, 22 Julai - Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diumumkan sebagai gelanggang rasmi perlawanan akhir bola sepak lelaki sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan stadium itu dibuat susulan kerja pembinaan semula Stadium Shah Alam yang dijangka siap pada 2030.
Selain menjadi gelanggang perlawanan akhir bola sepak lelaki, Stadium MBPJ turut dipilih sebagai lokasi rasmi bagi majlis penutup temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.
"Bola sepak di MBPJ itu menjadi tuan rumah kepada Red Giant kan, kita ada dua wanita dan lelaki, tetapi lelaki memang comfirm di mbpj dan wanita di stadium selayang kita ada kemudahan stadium,'' katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pengelola SUKMA ke-2 Tahun 2025 di Shah Alam.
Tambah Datuk Seri Amirudin, beberapa venue lain seperti Stadium Salak Tinggi dan fasiliti universiti tempatan juga akan digunakan bagi saingan peringkat kumpulan.
Sebanyak 28 sukan teras dan lima sukan pilihan akan dipertandingkan di sembilan daerah melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor.
Bagaimanapun, acara berbasikal trek akan dilangsungkan di luar Selangor iaitu di Velodrom Nasional, Nilai memandangkan kemudahan berkenaan tidak terdapat di negeri itu.