RIYADH, 1 November – Aksi sengit sukan tampar muka profesional, Power Slap kendalian Dana White mencuri tumpuan apabila berlangsung di Arab Saudi pada Jumaat, sebagai sebahagian daripada penganjuran Riyadh Season.
Pertubuhan yang diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif UFC itu menjadi antara acara sukan antarabangsa yang dibawa masuk ke negara tersebut di bawah inisiatif Vision 2030, pelan transformasi nasional bagi mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak melalui pelaburan dalam sektor pelancongan, budaya dan hiburan.
Acara Power Slap 17 menampilkan pertarungan utama kelas welter antara Anthony Blackburn dan Cole Young, dengan Young berjaya menewaskan Blackburn dalam perlawanan semula untuk merampas kejuaraan dunia. -REUTERS