fb fb fb fb fb

Paris Masters: Sinner tundukkan Shelton, Zverev atasi Medvedev

Foto AFP

PARIS, 1 November – Jannik Sinner meneruskan prestasi cemerlangnya di kejohanan Paris Masters apabila mara ke separuh akhir selepas menundukkan Ben Shelton 6-3, 6-3 pada aksi suku akhir pada Jumaat.

Kemenangan tersebut, yang merupakan perlawanan ke-400 dalam karier profesionalnya, turut menyaksikan pemain Itali itu melanjutkan rekod kemenangan di gelanggang tertutup kepada 24 perlawanan berturut-turut, satu pencapaian yang bermula sejak November 2023.

0111 SKN LNR TENNIS PARIS 2Foto AFP

Pemenang empat gelaran Grand Slam itu kini semakin hampir untuk merampas kembali tangga teratas ranking ATP, sekiranya beliau muncul juara di Paris susulan penyingkiran mengejut pilihan utama, Carlos Alcaraz, pada pusingan kedua.

Di separuh akhir, Sinner bakal berdepan Alexander Zverev, pemain nombor tiga dunia, yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Daniil Medvedev 2-6, 6-3, 7-6(5).

Juara bertahan Paris Masters itu turut menyelamatkan dua mata perlawanan sebelum menamatkan rekod lima kekalahan berturut-turut kepada Medvedev, yang digelarnya sebagai “kryptonit” dalam temu bual selepas perlawanan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN