KUALA LUMPUR, 13 Julai - Pemain polo kebangsaan, Imran Khan Mohamed Moiz, menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi Malaysia di temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand pada Disember ini.
Namun, beliau menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan.
Menurut Imran, tumpuannya ketika ini adalah untuk terus menampilkan prestasi konsisten serta meningkatkan mutu permainan dalam setiap perlawanan yang disertai.
"Pada akhirnya, siapa yang dipilih untuk berada dalam kontinjen adalah keputusan pihak pengurusan.
"Jika saya terus bermain seperti biasa dan berjaya tingkatkan prestasi dalam setiap perlawanan, saya rasa peluang saya untuk dipilih adalah cerah," katanya selepas perlawanan akhir Liga Kuala Lumpur Polo Club Triple Crown 3 di sini, hari ini.
Imran Moiz sebelum ini mewakili skuad polo negara pada Sukan SEA Manila 2019.
Sementara itu, Naib Presiden KLPC, Stanley Sinnappen, berkata kejohanan Triple Crown 3 merupakan acara utama pertama yang dianjurkan kelab itu tahun ini dan akan disusuli dengan beberapa kejohanan berskala kecil hingga hujung tahun.
"Selain itu, kejohanan polo wanita juga dijangka berlangsung tidak lama lagi, yang pastinya bakal menjadi acara yang menarik.
"Kami amat menantikan musim akan datang dan pelbagai lagi acara menarik yang bakal dianjurkan pada tahun hadapan", katanya.
Terdahulu, pasukan Tyrant Windhorse yang dibarisi Jennifer Too, Datuk Seri Mohammad Raza Khan, Rashid Hasnan, Amran Selamat dan Amir Khan dinobatkan sebagai juara KLPC Triple Crown 3.