FONTVIEILLE, 29 Jun- Paul Pogba secara rasmi menyertai kelab Ligue 1, AS Monaco menerusi perpindahan percuma selepas menandatangani kontrak selama dua tahun, umum kelab itu pada Sabtu.
Pengumuman tersebut sekali gus menghidupkan semula karier pemain tengah berusia 32 tahun itu, selepas berdepan penggantungan doping.
Bintang Piala Dunia 2018 itu digantung selama empat tahun sejak Februari 2024 selepas didapati positif bahan terlarang DHEA, yang meningkatkan paras testosteron.
Namun, tempoh penggantungan tersebut dipendekkan kepada 18 bulan selepas rayuan berjaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Kelab Serie A, Juventus mengumumkan pada November lalu bahawa kontrak Pogba yang sepatutnya tamat pada Jun 2026 ditamatkan secara persetujuan bersama.
Karier Pogba bersama Juventus dalam penggal keduanya tidak menyerlah akibat kecederaan berpanjangan, selepas kembali ke kelab itu dari Manchester United secara perpindahan percuma pada 2022.
Pogba sebelum ini menyertai United pada 2016 dengan rekod perpindahan dunia ketika itu bernilai AS$122 juta, namun hanya meraih dua kejuaraan sepanjang enam musim bersama kelab England itu iaitu Piala Liga dan Liga Europa pada musim pertamanya.
Dia kali terakhir beraksi untuk pasukan kebangsaan Perancis pada 2022, bagaimanapun terlepas Piala Dunia di Qatar akibat menjalani pembedahan lutut.
AS Monaco menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu di tangga ketiga, di belakang juara Paris Saint-Germain (PSG) dan Olympique de Marseille.- REUTERS