PENNSYLVANIA, 29 Jun- Pemain gantian, Paulinho muncul wira Palmeiras apabila menjaringkan gol tunggal dalam masa tambahan untuk menewaskan Botafogo 1-0, sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab.
Perlawanan yang berlangsung dalam musim panas di Philadelphia itu menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan dalam 90 minit pertama, hanya dipenuhi permainan keras dan taktikal tumpul.
Namun, Paulinho mencipta detik gemilang pada minit ke-100 apabila berjaya melepasi dua pertahanan Botafogo, sebelum melepaskan rembatan rendah ke penjuru bawah gawang menewaskan penjaga gol, John Victor.
Botafogo cuba bangkit mencari gol penyamaan selepas Palmeiras akur terpaksa beraksi dengan 10 pemain berikutan Gustavo Gomez dilayangkan kad kuning kedua, akibat kekasaran terhadap Alexander Barboza.
Bagaimanapun, pertahanan Palmeiras kekal utuh sehingga tamat permainan dan kemenangan itu melayakkan mereka ke suku akhir.
Palmeiras dijangka berdepan pemenang antara Benfica dan Chelsea untuk aksi seterusnya pada Sabtu depan, di Philadelphia.- REUTERS