fb fb fb fb fb

PJ City sah tidak beraksi dalam saingan Liga Super 2023

(Presiden PJ City, Datuk Seri Subahan Kamal bercakap pada sidang media di Petaling Jaya,
Selangor, hari ini) 

PETALING JAYA, 11 November - Tanda tanya mengenai status Petaling Jaya (PJ) City dalam saingan Liga Super akhirnya terjawab hari ini apabila kelab itu mengesahkan bakal menarik diri bagi saingan musim depan. 

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan dibuat bukan atas faktor kewangan, sebaliknya kerana misi kelab tersebut yang dilihat tidak lagi bersesuaian dengan hala tuju penstrukturan Liga Malaysia (Liga-M) pada 2023.  

Jelas Subahan, peningkatan kuota kepada sembilan pemain import daripada lima sebelum ini turut memberi kesan kepada PJ City.

Ini kerana kelab tersebut merupakan satu-satunya pasukan yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan sejak musim 2021.


(Foto FB PJ City FC)

"Kita nak tegaskan bahawa keputusan ini bukan sebab masalah kewangan, tetapi kerana senario bola sepak, yang akan lebih rumit dengan penstrukturan Liga-M bermula musim depan  terutamanya peningkatan kuota pemain import. 

“Kami menghormati keputusan diambil MFL (Liga Bolasepak Malaysia), yang lebih arif sebagai pemimpin boleh sepak negara. Ini bukan bermakna kami meninggalkan terus bola sepak, kami tetap akan membuat langkah pembangunan, mencari bakat baharu, melatih pemain dan menyalurkan mereka ke pasukan kebangsaan dan kelab,” kata beliau pada sidang media, di sini hari ini.

Subahan menjelaskan pemilik kelab, QI Group turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat mengambil alih hak dan lesen pasukan itu untuk bertanding dalam Liga Super 2023.

Saingan musim depan bakal menyaksikan beberapa perubahan peraturan oleh Liga Bolasepak Malaysia antaranya semua pasukan boleh menandatangani sembilan pemain import selain perlu memiliki skuad bawah 23 yang akan bersaing dalam Liga Simpanan.

Media Baharu