fb fb fb fb fb

Faizal Azumu percaya sukan hoki boleh pergi jauh

IPOH, 11 November - Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan skuad hoki kebangsaan akan diberikan insentif yang sepadan dengan kejayaan mereka.

“Kalau hendak cakap tentang insentif, tentunya bukan sahaja (Kementerian Belia dan Sukan) dan persatuan hoki, tetapi seluruh rakyat telah mula buka mata kepada kebolehan skuad ini. Saya percaya pasukan ini boleh pergi jauh lagi dan saya mengalu-alukan penajaan dari pihak swasta untuk beri perhatian kepada sukan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2022 hari ini.

Ahmad Faizal berkata berdasarkan persembahan dipamerkan Speedy Tigers, momentum tersebut perlu diteruskan untuk kejohanan Piala Dunia pada Januari tahun hadapan di Bhubaneswar dan Rourkela, India.

“Saya lihat ia dibawa daripada momentum Piala Asia kelayakan Piala Dunia. Saya harap di pusingan akhir Piala Dunia nanti kita akan dapat tempat yang terbaik dan kalau kita lihat dari persembahan dan kemahiran yang ditunjukkan semalam, tidak mustahil untuk kita rangkul kejayaan dunia tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 95 remaja berusia 14 hingga 25 tahun dari seluruh negara telah ditauliahkan sebagai penerima Tahap Emas dalam majlis tersebut.

Anugerah berkenaan menyasarkan golongan remaja sebagai tanda aras pendidikan tidak formal untuk membina personaliti melalui pengalaman yang ditempuh.

ARPRM diadaptasi daripada program antarabangsa, The Duke of Edinburgh's International Award yang berpangkalan di United Kingdom bertujuan memberi pendedahan kepada para remaja mengenai konsep ketekunan tugasan, disiplin, kepimpinan, kemahiran, semangat jati diri, bertanggungjawab dan semangat kesukarelawanan.- BERNAMA

Media Baharu