CHENGDU, 2 Mei-Malaysia mengakhiri saingan Kumpulan B di tangga ketiga selepas menewaskan Australia, 4-1, pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Uber 2024.
Saingan berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech menyaksikan, mata pertama negara disumbangkan wakil perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei.
Pemain di ranking ke-32 dunia itu menang mudah ke atas pemain ranking ke-93 dunia, Tiffany Ho, 21-6 21-12.
Australia bangkit menyamakan kedudukan pada perlawanan kedua, apabila pasangan beregu wanita, Setyana Mapasa- Angela Yu menundukkan gandingan negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, 21-17, 21-15.
Wakil perseorangan wanita kedua, Wong Ling Ching kembali menceriakan kem negara apabila menyumbang mata kedua dengan menumpaskan Sydney Tjonadi, 21-16, 21-3.
Disusuli dua lagi kemenangan menerusi pasangan Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi dan pemain perseorangan wanita, Siti Zulaikha untuk melengkapkan kemenangan 4-1.
Meskipun menang, Malaysia gagal layak ke suku akhir selepas tewas kepada Taiwan dan Thailand sebelum ini sekaligus mengakhiri kempen Piala Uber di peringkat kumpulan.
Kali terakhir Malaysia mara ke suku akhir ialah pada edisi 2010