fb fb fb fb fb

Piala TNB 2024 :TNB semakin hampir raih gelaran 'treble'

Pasukan TNB meraikan kejayaan menjaringkan gol menentang UITM HA-KPT / Foto FB MalaysianHockeyConfederation

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Pasukan hoki lelaki TNB semakin hampir meraih gelaran Treble selepas menumpaskan pasukan UITM HA-KPT 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB 2024.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan gol seawal suku pertama menerusi dua jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-minit ke-10 dan ke-13.

Tersentak dengan jaringan itu, UiTM cuba bangkit dan berjaya mengejar kedudukan selepas Zul Pidaus Mizun menyempurnakan pukulan strok pada minit ke-49.

Berbaki tujuh minit suku terakhir perlawanan, TNB terus selesa di depan dengan satu lagi jaringan pada minit ke-53 menerusi peledak berbisa dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun.

Sementara itu, Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui anak buahnya sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol jika mampu mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah.

"Pemain kena lebih fokus mungkin kita nampak dia ada sedikit kesilapan tapi pemain kena cepat dapat balik rentak dan bermain seperti mana yang kita rancang.

"Jadi, saya rasa kita perlu perbaiki untuk perlawanan akan datang dan menang", katanya yang ditemui media selepas tamat permainan.

Dalam satu lagi perlawanan, Terengganu Hockey Team (THT) turut semakin hampir mengulangi kejayaan ke final seperti tahun lalu apabila menewaskan Maybank 3-0.

Tiga jaringan THT diperoleh melalui pukulan penalti strok kapten pasukan Mohd Fitri Saari pada minit ke-19.

Ia diikuti jaringan padang masing-masing menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-47 dan ke-48.

Aksi separuh akhir kedua membabitkan kesemua pasukan akan berlangsung Khamis ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD