fb fb fb fb fb

Piala Thomas 2024: Malaysia baham Hong Kong

Perseorangan lelaki Profesional negara, Lee Zii Jia /Foto FB BAM

CHENGDU, 27 April - Malaysia memulakan kempen dengan bergaya apabila memperoleh kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong pada aksi pertama Kumpulan D, Kejohanan Piala Thomas 2024 di sini.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech itu, mata pertama negara diraih pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia menewaskan Lee Cheuk Yiu dengan straight set 21-18, 21-18 dalam tempoh 45 minit.

Malaysia kemudian mengukuhkan kedudukan apabila beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan mata kedua.

Gandingan berkenaan mudah menewaskan gandingan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16 dan 21-12 dalam tempoh kurang setengah jam.

Momentum itu kemudiannya diteruskan oleh perseorangan kedua, Leong Jun Hao.

Jun Hao bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menjinakkan Angus Ng Ka Long dalam aksi tiga set, 17-21, 21-12 dan 21-15.

Dua lagi mata skuad negara disumbangkan beregu muda lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan perseorangan ketiga lelaki negara, Justin Hoh.

Skuad negara dijadualkan bertemu Algeria pada perlawanan kedua esok (Ahad) dan sekiranya menang, Malaysia bakal melangkah ke suku akhir kejohanan.

Malaysia bakal menamatkan perlawanan peringkat kumpulan dengan aksi menentang Denmark pada Selasa depan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD