fb fb fb fb fb

Piala Super UEFA : Manchester City juara

(FOTO AFP)

ATHENS, 17 Ogos -Manchester City muncul juara Piala Super UEFA selepas menewaskan Sevilla 5-4 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit permainan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Karaiskakis itu, Sevilla membuka jaringan menerusi tandukan Youssef En-Nesyri pada minit ke-25. Gol tersebut berpunca dari umpanan lintang oleh Marcos Acuna di sebelah kiri yang pantas disambar oleh penyerang Maghribi itu mengatasi dua pertahanan Manchester City, Nathan Ake dan Josko Gvardiol bagi menewaskan penjaga gol, Ederson.

Sevilla turut terlepas beberapa peluang bagi menggandakan kedudukan pada separuh masa pertama menerusi penyerang, Erik Lamela sebelum perlawanan mula didominasi oleh Manchester City.

Namun, kekebalan benteng pertahanan Sevilla menafikan beberapa peluang Manchester City bagi menyamakan kedudukan. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sevilla yang bermain secara menyerang hampir-hampir menambah jaringan kedua menerusi En-Nesyri, namun, dia gagal meyempurnakan peluang menerusi serangan balas menarik yang dimulakan oleh Lucas Ocampos.

(Penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri meraikan gol pendahuluan /FOTO AFP)

Manchester City yang kerap kali terperangkap dengan serangan balas Sevilla akhirnya menemui gol penyamaan menerusi tandukan oleh Cole Palmer pada minit ke-63 bagi menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Nathan Ake hampir menjadi wira Manchester City apabila tandukannya pada minit-minit akhir perlawanan berjaya ditepis oleh penjaga gol Sevilla, Yassine Bono.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat pada tambahan masa.

Kegagalan pertahanan Sevilla, Nemanja Gudelj menyempurnakan sepakan penalti memberi kemenangan kepada skuad 'The Citizen' sekali gus mengubat duka selepas tewas kepada Arsenal pada Piala perisai Komuniti minggu lalu.

Ketua pasukan Manchester City, Kyle Walker yang menjadi wira pasukan itu ketika penentuan sepakan penalti memuji semangat juang yang ditampilkan oleh rakan sepasukannya.

"Perlawanan ini adalah paling sukar. Semua pemain memberikan persembahan menakjubkan.

"Saya tidak suka mengambil sepakan penalti kerana saya tidak mahu mengecewakan pasukan sekiranya saya gagal.

"Pengurus (Guardiola) mahukan saya mengambil sepakan sebagai seorang ketua pasukan. Sepakan tersebut masuk dan kami menang", kata Walker kepada TNT Sports.-Reuters


(Pemain Machester City meraikan gol penyamaan menerusi Cole Palmer/FOTO AFP)

Media Baharu