KUALA LUMPUR, 9 Mei- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan sokongan sepenuhnya atas keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.
Menerusi Facebook Selangor Royal Office, baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan itu.
Selaku Penaung Selangor FC, baginda menegaskan bahawa kelab itu sedia berhadapan dengan sebarang tindakan susulan keputusan tidak menghadiri perlawanan tersebut.
"Susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan bagi pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.
"Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.
"Bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira," titah baginda menerusi kenyataan.
Baginda mahu semua pihak memahami bahawa insiden baru-baru ini adalah serius kerana melibatkan nyawa pemain dan berlaku hampir dengan tarikh perlawanan.
"Justeru, baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence," tambah kenyataan itu.
Piala Sumbangsih 2024 dijadual berlangsung esok antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, namun Selangor FC menarik diri atas faktor keselamatan susulan serangan asid terhadap pemainnya, Faisal pada 5 Mei lalu.