JOHOR BAHRU, 7 Mei- Kira-kira 1,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan sempena perlawanan akhir Piala Sumbangsih yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata, pihaknya akan memastikan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.
Polis juga katanya, tidak akan berkompromi terhadap sebarang provokasi bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan naib juara Selangor FC dijadual pada 10 Mei ini.