(Replika Piala Sultan Johor pada sidang media di Iskandar Puteri)
ISKANDAR PUTERI, 21 Oktober- Skuad hoki remaja kebangsaan akan memulakan saingan Piala Sultan Johor(SOJC) 2022,edisi ke-10 menentang India, di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, malam esok.
Pengurus Pasukan Malaysia, I.Vikneswaran berkata, meskipun Malaysia akan dibarisi empat pemain berpengalaman berbanding India yang menampilkan 7 pemain senior, beliau yakin skuad muda itu bakal memberikan aksi terbaik di hadapan sokongan peminat hoki tempatan.
Katanya, perlawanan esok akan menyaksikan 14 pemain negara, bakal beraksi dalam perlawanan sulung antarabangsa mereka.
"Ia perlawanan pertama buat 14 pemain yang baru dipanggil menyertai skuad remaja dan belum ada kap antarabangsa.
"Empat pemain pula sudah pernah beraksi di perlawanan antarabangsa, jadi mereka pertama kali digandingkan untuk persiapan saingan SOJC.
"Sudah tentu ia menjadi tanda tanya sama ada pasukan ini mampu bersaing tetapi jurulatih pastinya membuat penilaian dan sudah merangka perancangan terbaik untuk memperbaiki apa saja kelemahan bagi memastikan kita mampu memberi cabaran.
(I.Vikneswaran (kanan) bersama Mohammad Alam memegang replika Piala Sultan Johor pada
sidang media di iskandar Puteri)
"Untuk aksi menentang India, kami akan turun dengan misi mencari kemenangan walaupun sedar mereka pasukan terkuat pada saingan kali ini di samping juara bertahan, Britain, Australia, Jepun dan Afrika Selatan," katanya.
Tambahnya, kejohanan tersebut juga penting kepada pasukan Malaysia, kerana menjadi medan menilai pemain yang berpotensi mewakili negara, pada Piala Dunia Hoki 2023.
"Bagi saya, India merupakan salah satu pasukan terkuat di dunia, berdasarkan kedudukan, tapi apa yang lebih penting adalah bagaimana mempersiapkan diri,kita tidak seharusnya gentar dengan sesiapa, apa yang pentinfg ialah fokus kepada kendiri, apa pencapaian terbaik yang kita boleh lahirkan," katanya
Sementara itu, Pengurus Pasukan India, Mohammad Alam optimis, pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik dan bertenaga walaupun penerbangan membawa skuadnya itu baru sahaja tiba semalam.
"Persiapan kami untuk saingan SOJC sudah dilaksanakan sejak enam bulan lalu bagi memastikan skuad bersedia sepenuhnya selepas tidak menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa akibat COVID-19.
"Kami menyenaraikan sekurang-kurangnya enam pemain yang pernah beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja di Odisha, India dua tahun lalu.
"Ia beri kekuatan untuk kami mengharungi perlawanan yang saya anggap berintensisi tinggi bermula dengan aksi menentang Malaysia.
"Selain itu beberapa muka baharu juga dibawa masuk dan latihan intensif selama enam bulan beri impak positif pada pasukan India kerana kami datang bukan tangan kosong, sudah tentu meletak sasaran untuk menjuarai kejohanan berkenaan," katanya.
Mereka ditemui dalam satu sidang media di sini.
Piala Sultan Johor 2022 disertai Malaysia dan India, di samping juara bertahan, Britain, Australia, Jepun dan pendatang baharu Afrika Selatan.
Perlawanan pembukaan menyaksikan bekas juara, Australia menentang Jepun, 4.05 petang, esok, diikuti Britain menentang Afrika Selatan, 6.05 petang.