fb fb fb fb fb

Atlet SUKMA Terengganu terima ganjaran

TERENGGANU, 21 Oktober- Seramai 387 atlet, pegawai dan jurulatih kontinjen Terengganu yang muncul naib juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 bulan lalu menerima insentif kemenangan berjumlah RM1.5 juta.

Insentif itu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha keras semua pihak yang membantu kontinjen negeri meraih 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa.


(Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah)

Berdasarkan pencapaian tersebut, kerajaan negeri telah menaikkan jumlah insentif untuk setiap pingat yang disumbangkan oleh atlet.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah pertambahan sebanyak RM500 merupakan penghargaan kepada atlet.

"Pertambahan RM500 berbanding dengan insentif pada 2018 lalu. Jadi ini sebagai penghargaan di atas pencapaian lebih sasaran yang telah pun ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu," katanya selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA Edisi Ke-20 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut berlangsung pelancaran Sekretariat Kebajikan Atlet Negeri Terengganu (SUKANT) dengan dana awal sebanyak RM100,000.

Penubuhannya bertujuan menjadi platform buat atlet atau bekas atlet memohon bantuan termasuk pinjaman pendidikan, perniagaan atau perubatan.

Media Baharu