fb fb fb fb fb

Piala Sudirman 2025: Malaysia tewas kepada China

Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 2 Mei- Perjalanan skuad badminton negara di Piala Sudirman 2025, terhenti pada pusingan suku akhir.

Ini selepas keputusan memihak kepada tuan rumah, China apabila berjaya mengutip tiga mata dalam aksi yang berlangsung di Xiamen Fenghuang Gymnasium, China, hari ini.

Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas berdepan pasangan ranking kedua dunia, apabila Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping hanya mengambil masa 49 minit untuk memastikan kemenangan dalam aksi straight sets, 17-21 dan 17-21.

Perjuangan diteruskan menerusi perseorangan lelaki negara yang juga kapten pasukan, Leong Jun Hao.

Jun Hao yang berada pada ranking ke-26 dunia sukar membaca rentak permainan pemain tinggi lampai China, Shi Yu Qi apabila tewas 6-21 pada set pertama.

Jun Hao yang cuba untuk bangkit pada set kedua, bagaimanapun gagal menyerap tekanan berdepan pemain berpengalaman itu dan terpaksa akur dengan kekalahan, 14-21.

Kem negara yang ketinggalan 0-2, menyerahkan tugas akhir dengan misi wajib menang kepada perseorangan wanita, K. Letshanaa.

K. Letshanaa bagaimanapun akur dengan kelebihan pengalaman lawannya, Chen Yu Fei sekali gus menyaksikan beliau tewas, 8-21 dan 7-21.

Terdahulu, Malaysia diundi dalam kumpulan C pada edisi kali ini bersama Jepun, Perancis dan Australia.

Malaysia dinobat selaku naib juara kumpulan apabila gagal memanfaat peluang berdepan Jepun pada Khamis untuk meraih gelaran juara kumpulan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal untuk menembusi dominasi China dalam kejohanan berpasukan campuran paling berprestij, dengan pasukan tuan rumah kini memburu gelaran juara buat kali ke-14.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM