BARCELONA, 2 Mei- Magis bintang sensasi Barcelona, Lamine Yamal berjaya membawa pasukan gergasi Sepanyol itu untuk mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara.
Barcelona pada awalnya hilang keyakinan untuk 22 minit pertama, apabila Inter Milan mendahului dengan dua gol dalam separuh masa pertama.
Namun kecemerlangan pemain muda sensasi berusia 17 tahun itu mencetuskan kebangkitan Barcelona untuk mencatat keputusan seri 3-3 di Stadium Olimpik Montjuic, awal pagi Khamis.
Dua jaringan awal Inter menerusi Marcus Thuram dan Denzel Dumfries seolah-olah membayangkan detik sukar buat The Catalan, yang tampil tanpa penjaring terbanyak Robert Lewandowski akibat kecederaan.
Namun, Yamal dalam penampilan ke-100 bersama kelab membuktikan kematangannya jauh mengatasi usianya.
Yamal mencetak gol pembukaan pada minit ke-24, menghidupkan harapan Barca.
Gol itu mencetuskan semangat pasukan muda Barca, dengan Ferran Torres menyamakan kedudukan sebelum Dumfries meledak gol kedua peribadi.
Namun, sepakan Raphinha yang terkena palang dan kemudian disudahi sebagai gol sendiri oleh penjaga gol Inter, Yann Sommer, menyamakan kedudukan buat kali kedua.
Jurulatih Inter Simone Inzaghi menyifatkan Yamal sebagai "fenomena", manakala pengendali Barca, Hansi Flick memuji kehebatannya dalam mencetuskan kebangkitan.
"Dia sangat menentukan. Kita sudah tahu apa yang Lamine mampu lakukan," kata Torres, disokong Raphinha yang turut memuji impak besar pemain muda itu kepada pasukan.
Musim ini, Yamal sudah mengumpul 15 gol dan 24 bantuan jaringan dalam 49 penampilan, angka yang membuktikan dia bukan sekadar ‘bakat remaja’, tetapi seorang pemain kunci.
Barcelona akan membuat perhitungan semula pada aksi timbal balik di San Siro, 7 Mei nanti.- AFP