THAILAND, 27 Julai - Impian skuad sepak takraw negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan acara regu berpasukan sekali lagi tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand pada final Piala Raja Thai 2025, hari ini.
Anak buah Ahmad Jais Baharun gagal menamatkan dominasi skuad Gajah Putih yang terus menjadi penghalang utama Malaysia sejak lebih tiga dekad dalam perlawanan yang berlangsung di pusat beli-belah Central Hatyai, Songkhla.
Kekalahan ini menyambung penantian 34 tahun untuk melihat Malaysia menjulang gelaran berpasukan, kali terakhir diraih pada Sukan SEA 1991 di Manila.
Dalam perlawanan pertama, trio Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Norfaizzul Abd Razak tewas 12-15, 12-15 kepada regu pertama Thailand.
Regu kedua negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam cuba bangkit namun hampa. Walaupun memberi saingan sengit pada set pertama sebelum tewas 16-17, mereka akhirnya tunduk 4-15 pada set kedua di tangan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan.