fb fb fb fb fb

Piala Negara-Negara: Sarjit puji semangat juang Speedy Tigers

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Jun-Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh menyifatkan semangat juang yang ditampilkan anak buahnya dalam aksi menentang Pakistan sebagai sesuatu yang membanggakan.

Menurut Sarjit, skuad Speedy Tigers memulakan permainan dengan sedikit gugup sekali gus menjejaskan fokus pasukan pada awal permainan.

Saya rasa kami bermula dengan agak gugup... Tapi ia bukan sesuatu yang mudah.

"Kami berjaya bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan 2-3, dan sepatutnya kita menang 4-3. Tapi ini adalah sebahagian daripada permainan. Jika anda mendapat peluang, anda seharusnya menjaringkan gol. Ia adalah sesuatu yang adil bagi kedua-dua pasukan,” katanya.

Sarjit turut menghamburkan pujian kepada barisan pertahanan Speedy Tigers yang disifatkan bermain dengan baik dan kerap kali mengagalkan serangan pasukan Pakistan.

“Saya berasakan bahagian pertahanan bermain dengan baik hari ini. Cuma bahagian serangan agak tumpul dari segi penyudah. Namun dari segi disiplin dan komitmen pemain, sangat bagus", ujarnya

Mengulas mengenai aksi seterusnya menentang New Zealand, Sarjit berharap anak buahnya dapat bermula dengan lebih yakin serta memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan ini.

“Harapnya pada perlawanan esok menentang New Zealand mereka tidak akan bermula dengan gugup lagi, tiada lagi penudaan perlawanan.

"Skuad kita terdiri daripada pemain muda dan di sini letaknya kepentingan pengalaman. Mereka perlukan banyak pendedahan,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Speedy Tigers dijadualkan menentang New Zealand bagi aksi kedua Kumpulan B hari ini.

Manakala Pakistan pula menentang Jepun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD