KUALA LUMPUR, 15 Jun- Skuad hoki negara, Speedy Tigers memulakan kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 dengan satu mata apabila mengikat Pakistan 3-3 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi (Ahad).
Pada perlawanan berkenaan, Pakistan membuka tirai jaringan pada minit ke-6 menerusi Ahmed Nadeem.
Kelekaan pertahanan skuad negara sekali lagi dihukum oleh Pakistan menerusi jaringan pada minit ke-9 hasil jaringan Abdul Rehman.
Anak buah Tahir Zaman mempertahankan kedudukan 2-0 sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, skuad negara melakukan asakan ke gawang Pakistan bagi memburu gol.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Fitri Saari menjaringkan gol pertama pada minit ke-49.
Speedy Tigers kemudian menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu menerusi pukulan penalti oleh Syed Syafiq Syed Cholan.
Kedudukan itu cuma bertahan hanya seminit sebelum Pakistan menjaringkan gol ketiga hasil tolakan mudah Abdul Waheed Asyraf Rana.
Gol berkenaan tidak mematahkan semangat anak buah Sarjit Singh. Pasukan negara berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi Syed Syafiq hasil pukulan penalti pada minit ke-55.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara dan Pakistan menduduki tempat kedua dan ketiga dengan satu mata di belakang New Zealand yang menewaskan Jepun 2-1.
Speedy Tigers dijadualkan menentang New Zealand hari ini sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Jepun,
Dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir.