KAHERAH, 21 Mac-Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, berkata sudah tiba masanya untuk Mohamed Salah menjulang trofi Piala Negara Afrika, dan beliau berhasrat untuk membawa Mesir ke Piala Dunia 2026, seperti yang pernah dilakukannya sebagai pemain.
Hassan telah memenangi Piala Negara Afrika tiga kali sebagai pemain dan kini mendambakan untuk meraih kejuaraan sebagai jurulatih.
Beliau memiliki skuad berbakat, termasuk bintang Liverpool, Salah, dan rakan sepasukannya, Omar Marmoush, yang menyertai Manchester City pada Januari lalu.
Salah, 32, telah membantu Mesir sebanyak dua kali menjadi naib juara kejohanan benua itu pada 2017 dan 2021 tetapi masih belum berjaya meraih kejuaraan.
"Sudah tiba masanya untuk Salah menjulang trofi Piala Negara Afrika, dan dia layak menerimanya. Saingan memang sengit, tetapi kami mampu memenanginya," kata Hassan dalam satu temu bual bersama Reuters.
"Dia pemain yang hebat dan layak mendapat statusnya sekarang.
Kehadirannya bersama pasukan sangat luar biasa. Semua pemain, yang diketuai oleh Salah, berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi harapan dan impian rakyat Mesir," tambah bekas penyerang Mesir itu.
Mesir diundi dalam Kumpulan B bersama Afrika Selatan, Angola, dan Zimbabwe dalam kejohanan yang berlangsung dari 21 Disember hingga 18 Januari di Maghribi.
Hassan enggan memilih antara memenangi Piala Negara Afrika atau melayakkan diri ke Piala Dunia, kerana kedua-duanya pernah dikecapinya semasa menjadi pemain dan merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Mesir.
Dia pernah menjaringkan gol penting yang membawa Mesir ke Piala Dunia 1990, dan kini sebagai jurulatih, beliau berharap dapat mengulangi pencapaian itu.
"Kedua-dua matlamat itu amat penting. Memenangi Piala Negara Afrika selepas sekian lama pasti menjadi satu pencapaian hebat, terutamanya buat generasi pemain yang cemerlang ini," katanya.
"Selain itu, layak ke Piala Dunia dan mara ke peringkat seterusnya akan menjadi pencapaian yang lebih membanggakan. Ia juga akan menonjolkan prestasi generasi ini serta staf kejurulatihan, dan tentunya menggembirakan penyokong Mesir yang sangat setia," tambahnya.
Kini, Mesir mendahului Kumpulan A kelayakan Piala Dunia Afrika dengan kelebihan empat mata, dengan enam perlawanan berbaki. Hanya juara kumpulan akan layak terus ke kejohanan tahun hadapan.
Salah telah terlibat dalam 44 gol musim ini untuk Liverpool, menjadikannya pemain dengan sumbangan gol terbanyak di lima liga utama Eropah. Dia diikuti oleh Marmoush, yang mencatatkan 28 sumbangan gol, kebanyakannya bersama Eintracht Frankfurt sebelum berpindah ke Manchester City.
Salah turut membantu Liverpool mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 12 mata dengan baki sembilan perlawanan.
Hassan menaruh harapan kepada Salah dan Marmoush, yang dianggap sebagai pewaris Salah di pentas antarabangsa.
"Kehadiran Salah dan Marmoush di kelab-kelab terbesar dunia serta prestasi mereka yang cemerlang memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan kebangsaan," katanya.
"Mereka pasti berdepan cabaran besar dalam Piala Negara Afrika kerana tekanan yang tinggi, tetapi mereka kini lebih berpengalaman dan bijak menangani situasi itu."
"Marmoush adalah pemain berbakat. Dia telah bekerja keras sepanjang kariernya di Eropah, dan pemindahannya ke salah satu kelab terbesar dunia adalah sesuatu yang sangat wajar."
"Saya yakin dia akan berjaya pada masa akan datang, dan hatrik yang dijaringkannya ketika menentang Newcastle United dalam Liga Perdana pada Februari lalu pasti meningkatkan keyakinannya," tambah Hassan.-REUTERS.