SPLIT, 21 Mac-Dua jaringan menerusi Ante Budimir dan Ivan Perisic memastikan Croatia membawa bekalan selesa apabila menang 2-0 ke atas Perancis pada perlawanan suku akhir pertama Liga Negara UEFA di sini.
Pada perlawanan berkenaan, Croatia yang turun sebagai tuan rumah terlepas peluang awal bagi membuka jaringan setelah sepakan penalti Andrej Kramaric diselamatkan oleh penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Kehadiran semula Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele yang sebelum ini disisihkan akibat kecederaan gagal memberi impak buat pasukan Perancis.
Perancis mencipta beberapa peluang menjaringkan gol namun ketangkasan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menafikan beberapa percubaan berbahaya.
Ketua jurulatih Perancis Didier Deschamp berikrar bahawa pasukannya bakal bangkit kembali menjelang aksi kedua di Paris pada Ahad.
"Kami kalah pada perlawanan pertama, kami akan pastikan kami menang di tempat sendiri.
"Kami dihukum di babak pertama. Kami terlalu banyak melakukan kesilapan teknikal dan memberi peluang kepada lawan", kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps, kepada TF1.
"Separuh masa pertama kami jauh di bawah kemampuan sebenar. Kami akan melakukan segala-galanya untuk mengubah keadaan.
Pemenang perlawanan ini akan berdepan sama ada juara bertahan Sepanyol atau Belanda di separuh akhir pada Jun depan.-AFP.