SYDNEY, 21 Mac- Ketua jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert berjanji pasukannya akan kembali bangkit pada perlawanan menentang Bahrain di laman sendiri minggu depan.
Kenyataan itu hadir selepas legenda Belanda itu mengalami permulaan yang sukar sebagai pengendali Indonesia.
Pasukan Indonesia yang bermain sebagai pasukan pelawat dihukum kerana gagal menjaringkan penalti awal apabila Australia meraih kemenangan 5-1 pada Khamis, sekali gus menghampiri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang bakal dilangsungkan di Amerika Utara.
Legenda Belanda dan Barcelona, Kluivert, yang menggantikan Shin Tae-yong yang dipecat pada Januari lalu berkata pasukannya mesti segera bangkit untuk pertemuan di Jakarta.
"Positifnya ialah kami terus berjuang dan semangat pasukan sentiasa ada," kata Kluivert kepada wartawan.
"Kalian mungkin tidak melihat semangat... tetapi kami memilikinya dalam pasukan. Kami pasti akan memberi reaksi menentang Bahrain.
"Tetapi sekarang kami perlu menerima kekalahan ini dahulu dan melihat ke dalam diri masing-masing untuk mengenal pasti kesilapan, termasuk saya sendiri, mungkin saya juga melakukan kesalahan", tambahnya.
Kluivert merasakan keputusan mungkin berbeza jika sepakan penalti Kevin Diks pada minit kelapan masuk ke gawang dan bukannya terkena tiang.
"Sangat mudah untuk menuding jari, tetapi saya tidak suka menyalahkan sesiapa," kata Kluivert, yang pernah menjadi salah seorang penyerang paling digeruni pada zamannya tetapi belum mencapai kejayaan sebagai jurulatih.
Jepun berada di puncak Kumpulan C dan telah layak, manakala Australia kini di tempat kedua dengan 10 mata, dengan tiga perlawanan lagi untuk dimainkan.
Dua pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia.
Arab Saudi mempunyai sembilan mata, manakala Indonesia, Bahrain dan China masing-masing mengumpul enam mata dan masih dalam persaingan.
Pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat dalam tiga kumpulan kelayakan Asia akan memasuki pusingan kelayakan seterusnya.-AFP.