MANJUNG, 14 Disember - Perak FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.
Bertempat di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang.
Namun, Sri Pahang FC membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi penyerang import, Kpah Sherman, hasil hantaran kemas Manuel Hidalgo.
Memasuki babak kedua, Perak FC melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan lawan, namun gagal memecah kebuntuan akibat ketumpulan jentera serangan.
Di penghujung perlawanan, Sri Pahang FC terpaksa bermain dengan 10 orang selepas penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan, dilayangkan kad merah akibat mengasari penyerang Perak FC, Clayton Da Silva.
Namun, keputusan 0-1 kekal sehingga wisel penamat, memberikan kelebihan kepada skuad Tok Gajah menjelang aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 22 Disember ini.
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, meluahkan kekecewaan atas kegagalan pasukannya mencatat kemenangan walaupun memiliki banyak peluang di depan gol.
"Malam ini kita tidak boleh bercakap tentang nasib. Kita terima kekalahan ini dan apa yang kita boleh pelajari ialah memperkemaskan penyudah. Banyak peluang telah dicipta, tetapi gol tidak menjelma," katanya.
Sementara itu, jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.
"Saya sangat suka persembahan mereka. Mereka beri 100 peratus dan bekerja keras. Walaupun kita mungkin dapat satu atau dua gol lagi di babak pertama, inilah bola sepak. Kita akan lebih bersedia untuk perlawanan di Temerloh nanti," katanya.