LONDON, 14 Disember-Penyerang Harry Kane akan terus memegang tanggungjawab sebagai ketua pasukan kebangsaan England apabila Thomas Tuchel mengambil alih jawatan pengurus pasukan pada Januari, menurut kenyataan pengendali Jerman itu pada Jumaat.
Tuchel turut menekankan bahawa semua pemain akan diberi peluang baharu ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2026 bermula di bawah kendaliannya.
England diundi dalam Kumpulan K bersama Serbia, Albania, Latvia, dan Andorra dalam sesi cabutan yang diadakan di Zurich, yang juga merupakan penampilan pertama Tuchel sebagai pengurus England.
Dilantik bermula Oktober lalu, Tuchel akan mula memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Januari 2024 menjelang persiapan untuk kelayakan Piala Dunia.
"Buat masa ini, tiada keperluan untuk memikirkan perubahan," kata Tuchel kepada wartawan.
"Kane sentiasa menjadi ketua pasukan terbaik untuk England.
" Jadi, mengapa perlu mempersoalkannya sekarang?"
"Kita akan menyeberang jambatan apabila tiba masanya. Pertama sekali, pada Januari nanti, saya akan berhubung dengan semua pihak, merasai suasana di St George's Park, dan mengenali para pemain.
"Dari Januari hingga Mac, masih banyak perlawanan akan berlangsung. Kemudian, kami akan cuba membentuk pasukan terbaik untuk menghadapi cabaran yang mendatang", katanya.
Tuchel, 51, memberi bayangan bahawa beliau akan bertindak secara bebas daripada bekas pengurus, Gareth Southgate, dengan membina pasukan berdasarkan acuannya sendiri.
Semua pemain dijanjikan peluang baharu tanpa mengambil kira sejarah mereka sebelum ini.
Antara pemain yang dijangka menerima panggilan ialah pertahanan Arsenal, Ben White, yang enggan dipertimbangkan untuk pemilihan selepas meninggalkan skuad England secara mengejut semasa Piala Dunia 2022 atas sebab peribadi.
"Saya akan menghubunginya," kata Tuchel.
"Ia harus bermula dengan lembaran baharu dan naratif yang jelas."
White, yang setakat ini hanya bermain empat kali dalam perlawanan persahabatan bersama England, dikhabarkan mempunyai isu peribadi dengan Southgate dan penolongnya, Steve Holland.
Walau bagaimanapun, Southgate kemudiannya menafikan dakwaan tersebut.
"Saya suka rangka kerja ini, naratifnya. Saya suka memulakan tugasan ketika kelayakan Piala Dunia bermula, untuk memulakannya dari situ," kata Tuchel.
"Ia memberikan kejelasan dalam proses pemilihan, kejelasan bagaimana kami berkomunikasi, dan matlamat yang ingin dicapai.
"Tiada gangguan. Kami akan bersedia", jelasnya.
Tuchel turut menjelaskan bahawa beliau akan mula hadir ke stadium-stadium di seluruh England bermula pada Januari untuk memantau prestasi pemain, namun akan tetap menghormati jadual padat kelab, terutamanya dalam Liga Perdana Inggeris.-REUTERS