fb fb fb fb fb

Piala Malaysia: JDT mara ke pentas akhir, tundukkan Terengganu FC dengan agregat 6-1

Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi mengasak Pertahanan Terengganu FC, Muhammad Alif Zakaria pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim / Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI, 1 Februari – Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila mara ke pentas akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-1.

Dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, JDT mencatat kemenangan 2-1, sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke perlawanan akhir.

Berbekalkan kelebihan kemenangan 4-0 pada separuh akhir pertama, skuad Harimau Selatan tetap beraksi garang di laman sendiri dan membuka tirai jaringan menerusi Heberty Fernandes pada minit ke-31. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Terengganu FC bagaimanapun memberi tentangan apabila Ismaheel Akinade menyamakan kedudukan pada minit ke-59, menewaskan penjaga gol JDT, Christian Amat.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Heberty sekali lagi mencetak nama selaku penjaring, memastikan kemenangan 2-1 untuk JDT dan membawa mereka ke pentas akhir dengan agregat 6-1.

JDT kini menanti pemenang antara Sabah FC dan Sri Pahang FC bagi menentukan lawan mereka di pentas akhir.

Dalam pada itu, ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun hanya mencatat kemenangan tipis dalam perlawanan tersebut.

"Aksi pemain pada separuh masa pertama agak baik, tetapi babak kedua menjadi lebih sukar apabila lawan banyak melakukan serangan balas dan mengawal permainan.

"Ia perlawanan yang baik dan kami perlu belajar daripada situasi ini. Ada ketika kami perlu lebih banyak mengawal bola dalam perlawanan tertentu," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, tetap berbangga dengan peningkatan yang ditunjukkan pasukannya, terutama keupayaan menjaringkan gol di laman JDT.

"Sudah tentu kita tahu kita bertemu JDT secara berturut-turut. Perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia, kita ketinggalan 4-0. Kemudian bertemu mereka dalam Liga Super dan kini perlawanan ketiga.

"Kalau kita lihat, pemain saya begitu bersemangat untuk berdepan JDT. Saya sentiasa memberi motivasi kepada mereka.

"Dengan skuad yang agak terhad, saya tetap bangga dengan pemain. Ini satu dorongan sebelum kita ke Bangkok untuk berdepan BG Pathum dalam Shopee Cup," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN